Sunday, May 29, 2011

Terima Kasih FAM dan Berita Harian..

Published on May th, 2011
(Dihantar ke ruangan Surat Berita Harian sebelum diedit dan disiarkan pada 25/5/2011)

Saya salah seorang peminat bolasepak Malaysia yang ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap FAM secara amnya, dan kepada Presiden FAM secara khususnya.
Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan tahniah terhadap FAM kerana membawa gergasi-gergasi Liga Perdana England untuk menjalani perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan kebanggan kita. Dan mereka telah berjaya mendapat persetujuan ini dengan lebih awal, tidak seperti ketika Malaysia memerlukan perlawanan persahabatan antarabangsa semasa menentang Etoile FC tempoh hari. Ada orang mungkin mempersoalkan bahawa lebih baik bagi pasukan kebangsaan untuk menentang pasukan kebangsaan negara lain untuk mendapatkan mata kedudukan FIFA dan seterusnya mencerahkan lagi peluang layak ke pertandingan antarabangsa, tetapi saya tidak bersetuju atas beberapa sebab. Pertamanya, bukankah di Malaysia ini ramai warga-warga England? Sudah tentu mereka akan turun memenuhi stadium menyokong pasukan kesayangan mereka, tidak seperti jika Harimau Malaya sekadar melawan pasukan kebangsaan lain. Keduanya, duit hasil kutipan tiket itu sangat penting sebenarnya. Tidaklah saya tahu untuk apa sebenarnya, tapi saya pasti dan percaya bahawa FAM tahu bagaimana untuk menggunakannya untuk menaikkan tahap bolasepak Malaysia.

Seterusnya, pujian juga harus dihamburkan kepada Presiden FAM kerana menganugerahkan Presiden FIFA, Sepp Blatter dengan pangkat Dato Sri walaupun beliau belum pernah pun memberi apa-apa sumbangan terhadap bolasepak Malaysia mahupun negara Malaysia. Orang lain mungkin mempertikaikan tindakan itu, tetapi bukan saya. Tidakkah mereka ini terfikir bahawa Sepp Blatter akan rasa terharu dan berterima kasih dengan anugerah itu, dan akan melakukan sedaya upaya beliau supaya Malaysia dapat menjadi tuan rumah Piala Dunia? Mungkin bukan dalam masa yang terdekat, tapi pasti ada di masa hadapan. Nah, sudah tentulah pasukan bolasepak Malaysia tak perlu lagi berusaha keras untuk layak secara merit! Harimau Malaya akan layak sebagai tuan rumah! Bukannya apa, bukankah pasukan kebangsaan kita sentiasa sibuk dengan perlawanan pertunjukkan dengan pasukan liga luar negara? Mereka tiada masa mengadakan perlawanan persahabatan penting dengan pasukan kebangsaan negara-negara lain. Saksikan tuan-tuan dan puan-puan, kebijaksanaan Presiden FAM.
    
               

Jangan buat bising, pemikir-pemikir bolasepak terulung sedang brainstorming!


Disamping itu juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli FAM kerana tidak mengundi Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden FAM dalam pilihanraya FAM sebelum ini. Sudah terang lagi bersuluh bahawa Tan Sri Annuar bukanlah calon yang layak untuk menerajui bolasepak Malaysia. Kejayaan KAFA dan pasukan Kelantan sekarang ini seperti kehadiran penonton di stadium yang sentiasa penuh, kualiti permainan yang tinggi, penubuhan akademi bolasepak bagi bakat muda; dan kekukuhan kewangan tanpa bergantung kepada kerajaan Negeri pun hanyalah bergantung kepada nasib semata-mata, bukan disebabkan kebolehan beliau. Eloklah beliau hanya diberi kepercayaan menerajui bolasepak wanita, kerana dalam tiga atau empat tahun lagi bila bolasepak wanita menyerlah, kenyataannya bolasepak wanita masih lagi tidak mendapat tempat di hati peminat di Malaysia seperti mana mereka meminati gergasi-gergasi EPL yang selalu minat dan ikhlas datang ke Malaysia setiap tahun.

Nasib semata-mata
Kalau diikutkan hati, banyak dan berjela-jela lagi yang ingin saya puji mengenai pencapaian FAM dan Presidennya. Tapi cukuplah sampai di sini sahaja. Tahniah FAM!

P.S: ini adalah surat betul yang dihantar ke Ruangan Surat Pembaca akhbar Berita Harian..Namun setelah diedit, ia menjadi lain..Berita Harian, tolong siarkan surat yang betul..ini link untuk surat yang telah diedit..
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UsahaFAMbawaChelseadihargai/Article/index_html


dipetik dari http://ultrasmalaya.net/tahniah-fam/

-Tanah Tumpahnya Darahku-

No comments:

Post a Comment